mutakhir

Gangguan bekalan air di Melaka 5 dan 6 Ogos

Oleh Nazri Abu Bakar

BEBERAPA kawasan sekitar Melaka dijangka mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam membabitkan 40,000 akaun pada 5 dan 6 Ogos ini.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dalam kenyataannya berkata, gangguan disebabkan kerja bagi membaiki injap bersaiz 700mm di Loji Air Daf 1 mengakibatkan pengepaman air terawat ke Kolam Senandong B3, Kolam Berangan dan Kolam Senandong A terpaksa dihentikan sementara.

"Sehubungan itu, SAMB menjangkakan kerja berkenaan menyebabkan gangguan bekalan air selama 24 jam bermula dari 9 malam (5 Ogos) sehingga 9 malam berikutnya.

"Berikutan itu, pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan sebarang maklumat lanjut boleh hubungi di Pusat Khidmat Pelanggan beroperasi 24 jam di talian 15800," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SAMB Datuk Zaidi Attan diminta mengulas notis berkenaan berkata, tujuan utama kerja-kerja itu bagi membolehkan loji terbabit mengeluarkan output maksimum air terawat untuk dibekalkan kepada semua tangki utama air bersih di kawasan Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Menurutnya, kerja mengambil masa 24 jam berikutan orang ramai diminta menyimpan air untuk kegunaan 36 jam bagi kemudahan dan keselesaan mereka.

Beliau berkata, sebaik kerja berkenaan selesai, SAMB yakin dan berharap dapat membekal air bersih dengan lebih baik kepada semua pengguna.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak SAMB memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas akibat kerja berkenaan.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 7:11pm
d