mutakhir

Aktiviti agama di masjid dalam kawasan Temco ditangguh

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEMUA aktiviti agama di masjid yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap ditangguhkan manakala surau diarah ditutup sebagai langkah memutuskan rantaian Covid-19.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, solat Jumaat di masjid perlu diganti dengan solat Zuhur dan sebarang aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, bacaan Yassin dan sebagainya tidak dibenarkan.

Katanya, solat fardu berjemaah di masjid-masjid berkenaan adalah dibenarkan maksimum tiga orang sahaja membabitkan imam, pegawai masjid atau jawatankuasa masjid secara bergilir mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagaimanapun laungan azan di masjid-masjid berkenaan dibenarkan sebagai makluman kepada anak kariah berkaitan waktu solat dengan lafaz azan kembali disebut kepada Sollu fi Buyutikum (solatlah di rumah kamu).

"Anak kariah bagi masjid yang terbabit hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zuhur di rumah dan menunaikan solat fardu di rumah masing-masing. Mereka dilarang menunaikan solat Jumaat atau solat fardu berjemaah di masjid atau surau-surau lain," katanya dalam kenyataan, hari ni.

Mohd Yusri berkata, masjid dan surau di kawasan terbabit hendaklah dilakukan proses pembersihan dan sanitasi.

"Mana-mana masjid yang mendapati jemaahnya positif Covid-19 hendaklah dilakukan sanitasi secara keseluruhan dan operasi (masjid) ditutup sepenuhnya," katanya.

Katanya, sehingga kini masjid yang dikenal pasti perlu mematuhi arahan ini adalah Masjid Bani Hashim, (Napoh); Masjid Kariah Kampung Cherok Mokkan (al-Amin) dan Masjid Kariah Kampung Bukit (al-Bukhari) mukim Hosba; Masjid Kariah Megat Dewa, (Jamuisalam), Mukim Ah; Masjid Kariah Binjal dan Masjid Kariah Asun (al-Jahra) mukim Binjal.

Selain itu, semua surau kariah Hosba, Kampung Cherok Mokkan, Megat Dewa, Binjal, Asun dan Kampung Bukit juga terbabit dalam arahan berkenaan.

Tambahnya, bagi daerah Padang Terap, masjid kariah Kampung Kubang Palas, Kampung Padang Sanai, Kampung Padang Cenderai (at-Tarmizi) dan semua surau kampung berkenaan.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 8:01pm
d