mutakhir

Covid-19: Peniaga santan lapor polis dakwa difitnah

Oleh Nor Farhani Che Ad

POLIS menerima laporan berhubung penyebaran berita palsu mengenai Covid-19 yang dikaitkan dengan kedai santan di Tikam Batu, di Sungai Petani, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Shamsudin Mamat berkata, laporan berkenaan dibuat pemilik perniagaan itu yang juga seorang wanita berusia 33 tahun pada 12.59 tengah hari tadi.

"Wanita terbabit mendakwa membaca satu hantaran melalui Facebook yang mendakwa kedai miliknya yang menjual santan di pasar Tikam Batu terkena jangkitan Covid-19.

"Dia (mangsa) juga menerima rakam layar melalui aplikasi WhatsApp berhubung perkara sama. Berikutan itu mangsa mendakwa perniagaannya terjejas akibat penyebaran berita palsu itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, penularan mesej mendakwa seorang ahli keluarga wanita terbabit yang bekerja di Jitra dijangkiti Covid-19 dan didapati membantu keluarganya di kedai santan berkenaan.

Shamsudin berkata, semakan di Facebook pemilik akaun terbabit mendapati, hantaran berkenaan sudah dipadam.

Katanya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit menafikan berita yang disebarkan dan mendakwa dia tidak membuat saringan saringan Covid-19 dan tidak bekerja di Jitra.

"Dia mendakwa kakaknya sahaja yang bekerja di Pertubuhan Peladang Kawasan di Jitra Kedah, dan sudah membuat saringan Covid-19 pada 2 Ogos lalu di Klinik Kesihatan Kuala Nerang namun keputusan saringan masih belum diperoleh.

"Kakaknya dikatakan tidak terbabit secara langsung dalam penjualan santan di kedainya dan balik ke Tikam Batu seminggu sekali," katanya.

Shamsudin berkata, susulan itu, polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan kes disiasat Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 11:00pm
d