mutakhir

Pasangan kekasih berdepan hukuman mati [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini, atas kesalahan mengedar dadah yang disembunyikan dalam pembesar suara dan dihantar melalui syarikat kurier, Mei lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Kok Choon King, 26, dan Hiu Sie Jia, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, Kok dan Hiu didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 516 gram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah syarikat kurier di kawasan perindustrian Senai, pada 6 petang 11 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan bersama Seksyen 32 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Muhamad Sabiq Mohd Subri manakala Kok diwakili peguam, Tan Choon Hong manakala Hiu diwakili, Ong Wen Li.

Majistret kemudian memerintahkan sebutan semula pada 22 Oktober depan bagi mendapatkan status laporan kimia kes berkenaan.

Jun lalu, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah yang disembunyikan dalam pembesar suara menggunakan syarikat kurier, Mei lalu.

Pasukan Cawangan Narkotik JKDM Johor mendapati bungkusan yang diterima syarikat kurier berkenaan pada 11 Mei lalu mengandungi methamphetamine seberat 516 gram disembunyikan dalam dua set alat pembesar suara, sebelum syarikat kurier berkenaan memaklumkan JKDM.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 11:17am
d