mutakhir

213 sekolah di Kuching ditutup [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menutup sementara 213 sekolah di Kuching, Sarawak sehingga 17 Ogos ini susulan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia membabitkan 87 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, 99 sekolah (PPD Padawan) dan 27 sekolah di PPD Samarahan.

"Untuk maklumat ahli Yang Berhormat, selepas pengumuman pelaksanaan kawalan pergerakan antara bahagian di Sarawak, pada 29 Julai 2020, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dengan persetujuan KPM memutuskan untuk menangguh pembukaan semula 213 sekolah di Sarawak.

"Pembukaan semula sekolah yang diumumkan pada 3 Ogos 2020 ditangguhkan ke 17 Ogos 2020.

"Bagaimanapun, kelas bagi pra-sekolah, tingkatan lima dan tingkatan enam beroperasi seperti biasa di ketiga-tiga PPD berkenaan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, bagi negeri Kedah pula, kerajaan negeri sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di empat mukim iaitu Ah, Hosba, Binjal dan Padang Senai, bermula 2 Ogos 2020.

"Berikutan itu JPBN Kedah dengan persetujuan KPM memutuskan untuk menutup empat sekolah di bawah PPD Kubang Pasu dan satu sekolah di bawah PPD Padang Terap bermula pada 2 Ogos 2020 sehingga 29 Ogos 2020.

"Berkaitan dengan (soalan) penutupan sekolah di Sabah, apa yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri bersama KPM melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) adalah case by case basis.

"Jika ada keperluan untuk menutup sekolah di kawasan itu, kami di KPM berdasarkan nasihat daripada profesional di KKM dan MKN serta kerajaaan negeri berbincang, kita bersedia (arah tutup)," katanya.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) sama ada KPM merancang untuk menutup sekolah di zon merah Covid-19 seperti di Kuching dan sekiranya tidak, sama ada pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.

Mohd Radzi menjelaskan Pengarah JPN adalah ahli dalam JPBN yang turut dianggotai oleh Pengarah Kesihatan Negeri dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri.

"Sehubungan itu, KPM melalui Pengarah JPN akan berbincang bersama-sama semua pihak yang berkaitan untuk melihat sekiranya terdapat keperluan menutup sekolah bagi mencegah penularan Covid-19 di mana-mana kawasan," katanya.

"Berkaitan pelitup muka guna semula, dalam garis panduan pembukaan semula sekolah, kita galakkan pemakaian pelitup muka tetapi masih belum diwajibkan.

"Pada waktu ini pihak kami sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk melihat mengenai kebolehgunaan pelitup muka guna semula di sekolah. Sebarang makluman akan dimaklumkan kepada awam dalam masa terdekat jika ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 11:46am
    d