mutakhir

Gantung diri dalam tandas

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG lelaki warga Myanmar ditemui mati selepas menggantung diri dengan wayar kabel dalam tandas sebuah rumah di Taman Sembilang, Seberang Jaya di Butterworth, jam 5.40 petang semalam.

Mayat mangsa ditemui abang iparnya yang kemudiannya menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, terdahulu, abang ipar mangsa mahu menggunakan tandas berkenaan namun gagal membukanya.

"Pintu tandas terkunci dari dalam. Dia kemudiannya melakukan pemeriksaan daripada luar sebelum melihat mangsa dalam keadaan tergantung dan tidak sedarkan diri.

"Siasatan mendapati, mangsa mengikat wayar kabel pada palang besi sebelum menggantung diri," katanya hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak menemui sebarang nota ditinggalkan mangsa selain tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.

"Abang ipar mangsa memaklumkan, kali terakhir mereka bertemu ialah pada jam 10 pagi pada hari kejadian sebelum dia keluar bekerja.

"Lelaki terbabit turut memaklumkan mangsa tidak terbabit dengan sebarang perselisihan faham dan masalah dalam kalangan rakan sekerja," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 2:41pm
d