mutakhir

SOP pengurusan banjir patuh syariah [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang patuh syariah dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) sudah disediakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Bagaimanapun, beliau mengakui sukar untuk mewujudkan garis panduan bencana yang terlalu spesifik mengikut syariah, namun keseluruhannya ia mengambil kira aspek berkenaan.

Katanya, SOP itu juga sudah diedarkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah serta agensi berkaitan untuk dilaksanakan sekiranya berlaku bencana khususnya, banjir yang memerlukan penduduk bermalam di PPS.

"SOP mematuhi syariah ini, yang mana keluarga lelaki dan wanita yang bukan muhrim akan diasingkan mengikut kesesuaian ruang PPS berkaitan.

"Bagi penyediaan makanan pula, ia dikendalikan penyedia servis yang menepati standard halal ditetapkan, sementara ruang ibadat akan mematuhi SOP digariskan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) juga mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen sebagai menambah baik SOP terbabit secara keseluruhan.

Terdahulu, Ahmad Fadhli bertanya, sama ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan garis panduan patuh syariah dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir di PPS.

Mengenai soalan tambahannya berhubung persediaan awal menghadapi banjir di Kelantan, Mohd Redzuan berkata, ia sedang dilakukan untuk memudahkan kelemahan ditangani sebelum bencana.

"Contoh di Kelantan, kita akan mewujudkan satu pusat bagi Angkatan Pertahanan Awam (APM). Di situlah tempat kita letak barangan sebagai persediaan awal menghadapi banjir.

"Hari ini kita dah beli 20,000 unit khemah yang mematuhi syariah yang mana kalau dahulu khemah setakat (paras) pinggang, kini akan guna khemah yang tertutup dan ia tidak terdedah serta mengikut syariah," katanya.

Berhubung langkah Nadma bagi mengelak banjir berulang, beliau berkata, agensi itu sedang memperhalusi cadangan untuk menggunakan kepakaran asing bagi mengatasi masalah banjir.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 3:35pm
d