mutakhir

104 ditahan ingkar PKPP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT pemilik premis yang beroperasi lebih masa antara yang ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhan seramai 104 individu ditahan kerana ingkar arahan itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu lima individu direman dan 99 individu dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKPP termasuk aktiviti tidak mengikut SOP iaitu 46 individu, 53 individu melakukan aktiviti membabitkan kehadiran ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan seorang melanggar perintah kuarantin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan khas operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 60,856 pemeriksaan semalam, bagi memantau menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Beliau berkata, 2,685 pasukan pematuhan membabitkan 12,841 anggota membuat pemantauan di 4,009 pasar raya, restoran (5,670), penjaja (1,696), kilang (1,196), bank (3,943) dan pejabat kerajaan (921).

Katanya, turut dipantau 1,199 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air serta 90 terminal pengangkutan udara.

Sementara itu, beliau berkata, seramai lima warga asing ditahan atas kesalahan imigresen hasil pemeriksaan 29,408 kenderaan dalam 64 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

"Dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 2,648 pendatang asing tanpa izin (Pati), 609 tekong dan 157 penyeludup ditahan selain menahan 105 bot dan 278 kenderaan yang cuba mencerobohi sempadan negara," katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan enam operasi sanitasi meliputi enam zon termasuk satu zon kuning di Sabah.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 3:42pm
d