mutakhir

Rompak beramai-ramai, tapi dapat telefon pintar

Oleh Norzamira Che Noh

SERANG pembantu kedai beramai-ramai dengan bersenjatakan parang sebelum melarikan telefon pintar milik mangsa.

Itu tindakan empat penjenayah yang terbabit dalam kes samun di hadapan sebuah restoran di Taman Aman Perdana, Klang, Selangor, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa membabitkan lelaki tempatan berusia 40-an dan bekerja sebagai pembantu kedai.

Menurutnya, mangsa baru tiba di restoran itu untuk membuka premis dan memulakan perniagaan.

"Dia bagaimanapun dihampiri empat lelaki bersenjatakan parang yang cuba melakukan samun. Mangsa bertindak bergelut dengan suspek sehingga menyebabkan kecederaan iaitu luka di sebelah tangan kanan.

"Suspek kemudian melarikan diri dan sempat mengambil telefon pintar milik mangsa," katanya semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berjaya mengesan suspek di sekitar kawasan Klang Utara.

Katanya, kesemua suspek berjaya ditahan di beberapa lokasi di daerah ini sekitar jam 1.30 pagi tadi iaitu kurang 24 jam selepas kejadian samun berlaku.

Nurulhuda berkata, ketika ditahan, empat individu itu dipercayai di bawah pengaruh dadah. Polis juga bertindak merampas kereta model Proton Saga, empat bilah pisau panjang dan satu batang besi panjang.

"Kesemua yang ditangkap berusia 18 hingga 35 tahun dan mempunyai rekod lampau babit samun, curi kenderaan dan dadah.

"Empat suspek itu kini ditahan reman mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:07pm
d