mutakhir

6,000 penduduk nikmati daging lembu sado

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

KIRA-KIRA 6,000 penduduk berpeluang menikmati keenakan daging lembu sado yang diagihkan kepada masyarakat setempat di sekitar Jabi, Jertih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Dr Azman Ibrahim berpeluang menyembelih lapan ekor lembu sado untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Dr Azman berkata, ia program korban yang julung kalinya diadakan membabitkan skala besar.

"Di hari Tasyriq yang terakhir, lapan ekor lembu sado baka Charolais, Belgian Blue dan Limousine bernilai kira-kira RM100,000 disembelih untuk diagihkan.

"Keseluruhan jumlah lembu disembelih menghasilkan kira-kira 3.2 tan metrik daging sebelum agihan dilaksanakan.

"Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap rumah dalam DUN Jabi," katanya pada Program Korban Perdana DUN Jabi di Pekan Jabi, di Jertih, semalam.

Katanya, walaupun bersaiz sado tetapi agihan dibuat setakat termampu kerana mahu memastikan hampir setiap penduduk boleh merasainya.

Katanya, kerjasama dari petugas yang bertungkus-lumus dari awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan dari tangga ke tangga penduduk amat dihargai.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:12pm
d