mutakhir

Nasib nelayan Melaka dan Negeri Sembilan, apa kesudahan?

Oleh Hassan Omar

NELAYAN di negeri Melaka dan Negeri Sembilan merayu nasib mereka diberi perhatian oleh kerajaan dan syarikat pemaju projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB), Mazelan Bakar berkata, kira-kira 300 nelayan yang memiliki lesen menangkap ikan bimbang terhadap masa depan mereka.

"Projek itu menimbulkan kesan langsung kepada nelayan berikutan pasir laut dikorek untuk ditambak menjadi pulau seluas 620 ekar (kira-kira 248 hektar). Ini sekaligus akan mengganggu habitat ikan dan hidupan marin yang lain.

"Kami tidak boleh menghalang kemajuan kerana ia dilaksanakan untuk pembangunan ekonomi, rakyat dan negara tetapi kami meminta nasib kami diberikan perhatian oleh kerajaan dan syarikat pemaju projek," katanya tadi.

Menurutnya, projek pembangunan di di perairan Kuala Linggi bakal memberi kesan terhadap nelayan di perairan Melaka Barat, perairan Melaka Selatan dan Teluk Kemang di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Kuala Linggi.

Beliau menjelaskan, PNKMB amat berbesar hati jika dipanggil kerajaan negeri untuk berbincang bagi mengatasi masalah itu.

Setakat ini, kerajaan negeri dan pemaju belum pernah mengadakan pertemuan membabitkan ketiga-tiga pihak bagi mencari kaedah terbaik memelihara kepentingan nelayan.

Khamis lalu, Mazelan dan Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka (PNM), Othman Ahmad serta Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan (PNNS), Abu Bakar Dawam memaklumkan bakal menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kerajaan Melaka dan Kementerian Pengangkutan serta beberapa pemimpin politik tempatan bagi menyatakan kebimbangan mereka berhubung projek berkenaan.

Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Yahya dilaporkan berkata, projek itu akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan mengambil lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar sebelum dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa.

Katanya, kerja menambak laut akan dilaksanakan, selain membina tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

Sementara itu, Othman yang dihubungi berkata, projek berkenaan akan menjejaskan hasil tangkapan nelayan di negeri melaka.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri dan syarikat pemaju menyediakan ruang perbincangan bagi mewujudkan situasi menang menang antara syarikat itu dengan nelayan.

an meningkat.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:16pm
d