mutakhir

Derita nasib saudara baru, hilang kerja dan rumah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

DIBERHENTIKAN kerja selain diarah keluar dari rumah didiami. Itu nasib tujuh sekeluarga saudara baru yang kini hilang punca untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ketua keluarga ini, Salam Abdullah, 37, bersama isterinya, Normala Kassim, 38, dan lima anaknya berusia dua hingga 12 tahun sebelum ini menetap di Sua Betong, Port Dickson, Negeri Sembilan, sejak setahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya melakukan tugas sebagai tukang kebun. Kami sekeluarga ditempatkan di rumah pekerja di dalam kawasan ini.

"Namun baru-baru ini kami mendapat notis diberhentikan kerja dan perlu keluar dari rumah didiami yang berkemungkinan sudah dijual kepada pemilik baru," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyKasih Care dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) tadi.

Katanya, tiga anak lelakinya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa di Port Dickson, manakala dua lagi anaknya masih kecil dan belum bersekolah.

"Buat masa kini, saya hanya bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan perlu mencari kediaman untuk berpindah secepat mungkin.

"Selepas itu saya perlu mencari kerja baharu. Saya tidak memilih pekerjaan asalkan dapat mencari rezeki halal untuk keluarga," katanya yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat konsesi pembersihan beberapa tahun lalu sebelum berhenti kerja akibat kemalangan.

Salam berkata, dia berterima kasih kepada rakan yang juga bekas jirannya, Halim Mat yang memuat naik kisah hidupnya sekeluarga yang memerlukan kediaman dan juga pekerjaan di dalam laman sosial Facebook.

"Kami perlu meninggalkan rumah ini sebelum 15 Ogos ini. Buat masa ini kami masih buntu memikirkan nasib," katanya yang sudah empat tahun memeluk agama Islam.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:28pm
d