mutakhir

Hadiah istimewa untuk Abang Johari

Oleh Mohd Roji Kawi

KEPUTUSAN Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menarik balik kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung cukai jualan negeri (SST) produk minyak dan gas disifatkan sebagai hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang ke-70 hari ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keputusan itu amat bermakna bagi rakyat Sarawak kerana ia diyakini akan memberi implikasi kepada ekonomi negeri terbabit.

"Keputusan PETRONAS menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan mereka membayar SST itu bermakna akan ada pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri untuk diberi balik kepada rakyat dalam pembangunan infrastruktur.

"Kebetulan pula keputusan itu diumumkan semalam dan hari ini pula Ketua Menteri menyambut ulang tahun kelahirannya sekali gus ia bermakna inilah hadiah istimewa buat beliau," katanya ketika sidang media sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Wanita di Petra Jaya hari ini.

Fatimah berkata, rakyat Sarawak juga tidak lupa bahawa kejayaan itu adalah hasil perjuangan yang dirintis Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika beliau menerajui kerajaan negeri.

"Kita sentiasa mengingati perjuangan Allahyarham sejak sejak mula dilantik sebagai Ketua Menteri yang sentiasa memberi fokus kepada usaha untuk mendapatkan kembali hak Sarawak dan kita berterima kasih kepada Datuk Patinggi Abang Johari yang meneruskan usaha itu hingga kita mencapai kejayaan pada hari ini," katanya.

Semalam, PETRONAS menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum, manakala kerajaan negeri juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azhahari Kamal Ramli ketika membuat keputusan itu menjelaskan bahawa peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh PETRONAS untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:37pm
d