mutakhir

Bapa 'setan' rogol anak OKU

Oleh Rosman Shamsudin

SEORANG bapa kandung yang sepatutnya melindungi anak berstatus orang kurang upaya (OKU) ditahan polis jam 12.30 malam tadi, di sekitar Bidor dekat Muallim, kerana melakukan sumbang mahram terhadap anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan semalam berkaitan seorang wanita OKU cacat pendengaran berumur 20-an dirogol bapa kandung berumur 40-an di kediaman mereka di sekitar daerah ini.

"Hasil siasatan awal, mangsa dirogol dua kali iaitu pada Mac lalu dan terbaru, pada awal bulan ini.

"Perbuatan suspek terbongkar hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang isterinya yang mengesyaki perbuatan terkutuk itu," katanya.

Menurut beliau, suspek yang tidak bekerja ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Bidor.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun selain sebatan.

"Suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 6:14pm
d