mutakhir

Polis bantuan cabul remaja ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

ANGGOTA polis bantuan ditahan selepas disyaki mencabul seorang remaja perempuan di kawasan tangga sebuah stesen transit aliran ringan (LRT) di Petaling Jaya, hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun yang bertugas di stesen berkenaan ditahan pada 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan daripada remaja perempuan berusia 19 tahun, pada 3.30 pagi, 30 Julai lalu.

"Mangsa mendakwa dicabul suspek semasa berada di stesen LRT itu. Mangsa bersendirian didatangi suspek yang mempelawa menemani mangsa atas faktor keselamatan.

"Suspek mengajak mangsa duduk di tangga dan mereka mula berbual. Suspek kemudian memaksa mangsa bersalam sebelum mencabul dan beredar meninggalkan mangsa.

"Berikutan kejadian itu, mangsa melarikan diri dan menceritakan kejadian kepada keluarga apabila sampai di rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, bertindak atas laporan polis menjalankan siasatan dan menahan suspek.

"Soal siasat suspek mengaku bertemu mangsa pada hari kejadian namun menafikan mencabul mangsa," katanya.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 7:19pm
d