mutakhir

Tanam 12 pokok ganja untuk suka-suka...

Oleh Juwan Riduan

AHLI perniagaan ditahan bersama 12 pokok ganja serta 58 butir peluru dalam serbuan polis di Taman Mega Ria, Batu 3, Jalan Air Panas Tawau semalam.

Serbuan pada 5.30 pagi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal Harley Davidson.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika berada di tingkat atas rumahnya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan disaksikan suspek sendiri, polis menemui 12 pokok disyaki ganja dengan ketinggian antara 138 sentimeter (cm) hingga 212 cm yang ditanam di halaman belakang rumahnya.

"Pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah suspek kemudiannya menemui plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat kasar 29.52 gram.

"Polis turut menemui beberapa kotak berisi peluru dengan jumlah sebanyak 58 butir peluru dlaam bilik tidur suspek," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Zaini berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh benih ganja itu dari Selangor dan mendakwa menanamnya hanya untuk suka-suka.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan dan kemungkinan ada motif lain.

"Suspek dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

"Suspek kini direman hingga 10 Ogos mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) akta sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat satu kilogram yang dianggarkan bernilai RM40,500 di Pejabat Pos di Manggatal semalam.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan oleh Pejabat Pos Manggatal terdapat satu parcel yang tidak dituntut dan dicurigai mengandungi bahan terlarang pada 9 pagi.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari IPK pergi ke pejabat pos berkenaan dan menemui satu bungkusan kiriman pos.

"Dalam bungkusan itu, menemui dua unit lampu siling berbentuk bulat berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

"Tiada tangkapan dilakukan dan semua barang berkenaan dirampas dan dibawa ke IPK Sabah untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 8:14pm
d