mutakhir

Didakwa seleweng dividen RM1.98 juta

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG pemegang saham sebuah syarikat teknologi komputer dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan menyeleweng wang dividen syarikat berjumlah RM1.98 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tertuduh berusia 44 tahun sebelum ini ditahan bersama dua lagi rakannya berusia 38 tahun.

Katanya, mereka didakwa melakukan penyelewengan tanpa pengetahuan pengarah syarikat.

"Suspek (utama) mengeluarkan sekeping cek atas nama mangsa berjumlah RM1.98 juta. Wang dividen dan cek itu ditunaikan ke dalam akaun bersama antara mangsa dan suspek tanpa pengetahuan mangsa.

"Hasil semakan penyata akaun bank mendapati selepas kemasukan wang itu, terdapat empat kali transaksi pengeluaran wang melalui cek ke atas beberapa penama yang mangsa tidak ketahui mengenai transaksi itu.

"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Nik Ezanee berkata, polis menahan suspek dan dua lagi rakannya dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424 kanun sama.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 8:22pm
d