mutakhir

Tujuh jam naik kereta api untuk mengajar [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

ALAH bisa tegal biasa, itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan kegigihan dua guru yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga, berulang-alik ke sekolah sejauh 300 kilometer (km) dengan menaiki kereta api setiap hari bagi mencurahkan ilmu kepada anak bangsa di pedalaman.

Seawal 3.45 pagi, Muhammad Asuhan Ramli, 38 dan Muhammad Hilmi Zahari, 31, sudah 'terpacak' di Stesen Wakaf Bharu dekat Kota Bharu bagi menunggu kereta api yang mengambil masa tujuh jam bagi perjalanan pergi balik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong.

Tidur malam mereka tidak seperti guru-guru lain kerana mereka hanya mampu tidur beberapa jam sahaja sebelum bangun seawal 2 pagi untuk bersiap ke sekolah.

Biarpun terpaksa berkorban masa dan tenaga setiap hari, namun dua sahabat berkenaan tidak pernah mengeluh sebaliknya bersyukur kerana tidak perlu berjauhan dengan keluarga.

Guru, Muhamamd Asuhan Ramli, 38, berkata situasi itu dilaluinya sejak awal tahun ini selepas berpindah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nenasi di Pahang.

Katanya, pada awalnya situasi itu agak menguji fizikal dan mental kerana perlu bangun seawal 2 pagi untuk bersiap memandangkan perlu tiba di stesen kereta api jam selewat-lewatnya 4 pagi.

"Perjalanan mengambil masa selama tiga jam setengah dan saya akan tiba di SK Dabong, 7.30 pagi.

"Cabaran besar yang saya terpaksa lalui adalah tanggungjawab saya selaku ketua keluarga terpaksa serah kepada isteri dalam menguruskan anak-anak.

"Masa saya dengan anak-anak agak terbatas kerana setiap hari saya akan tiba semula di Setesen Wakaf Bharu pada 6.30 petang sebelum pulang ke rumah di Pengkalan Chepa," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, selepas beberapa bulan bertugas, dia sudah terbiasa dengan keadaan itu dan tidak menganggap ia satu bebanan.

"Saya terpaksa berulang-alik kerana isteri bekerja di Kota Bharu. Jika saya menyewa di Dabong, saya perlu tinggal berjauhan dengan anak dan isteri.

"Selain saya, kira-kira lima lagi guru yang bertugas di SK dan SMK Dabong yang menaiki kereta api setiap hari. Namun, mereka naik di stesen lain dan hanya saya dan seorang lagi guru naik di Wakaf Bharu," katanya yang mengajar Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Muhammad Hilmi berkata, dia memilih untuk menaiki kereta api kerana kos yang jauh lebih jimat selain boleh berehat sepanjang perjalanan memandangkan terpaksa bangun awal setiap hari.

"Ketika mula mengajar di SK Dabong, saya pernah memandu kereta ke sekolah, namun kos minyak kereta sahaja sudah mencecah RM50 sehari.

"Sedangkan, dengan menaiki kereta api, saya hanya perlu membayar RM10 untuk tiket pergi dan balik dan sudah tentu saya dapat tidur sepanjang perjalanan.

"Dalam perjalanan pulang, saya akan menyemak segala urusan sekolah di dalam kereta api kerana masa saya agak terhad di rumah," katanya.

Katanya, jika dibandingkan sebelum ini, dia mengajar di kawasan pedalaman di Selangau, Sibu, Sarawak selama tujuh tahun, keadaan di sana lebih mencabar berbanding di sini dia mampu berehat di dalam kereta api sepanjang perjalanan.

"Memandangkan masa agak terhad dengan keluarga, saya perlu bijak membahagikan masa dan situasi yang dialami setiap hari ini sudah menjadi sebati dengan saya," katanya yang mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 10:45am
d