mutakhir

Beku pengambilan pekerja asing [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

USAHA berterusan dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk M Saravanan berkata, fokus utama ketika ini diberikan kepada pekerja tempatan selepas negara terkesan daripada penularan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan sudah mengambil keputusan untuk membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor yang dibenarkan sehingga hujung tahun ini.

"Usaha ini termasuk sektor pembinaan dan pembuatan, kita juga mewajibkan pengiklanan kekosongan jawatan untuk tempoh tidak kurang 30 hari di portal JobsMalaysia bagi tujuan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang.

"Yang kedua, pekerja barisan hadapan tidak dibenarkan kepada pekerja bukan warga negara.

"Semua agensi kawal selia diwajibkan melaksanakan penggantian 'exit strategy' untuk memastikan sektor berintensifkan buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai inisiatif kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar guna tenaga asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan negara.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR- Kulim Bandar Baharu) berhubung pangkalan data mengenai pekerja asing, beliau berkata, satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk mendapatkan jumlah sebenar pekerja asing di negara ini.

"Kita kerajaan yang prihatin, sebelum ini tidak ada data, kita sedar kecacatan ini, jadi kita bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya dapat angka sama.

"Sebelum ini kita memang ada kekangan untuk mendapatkan angka yang tepat.

"Kementerian Sumber Manusia menjawab semua soalan di parlimen, tapi yang keputusan membenarkan pekerja asing adalah kementerian lain," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 10:53am
d