mutakhir

Sindiket Bobby tumpas [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

SINDIKET pengedaran dadah dikenali sebagai kumpulan Bobby yang didalangi rakyat tempatan dan warga asing, ditumpaskan hasil 10 serbuan di Seri Alam dan Johor Bahru, Isnin hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan itu rentetan operasi serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di pusat hiburan di Permas Jaya.

Katanya, dalam operasi 1.30 pagi itu polis menahan tiga lelaki tempatan,lima wanita tempatan selain dua wanita warga asing.

"Hasil soal siasat terhadap suspek membongkar sindiket dadah yang didalangi seorang suspek utama iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun bernama Bobby dan teman wanitanya, seorang warga Vietnam.

"Polis juga berjaya mengesan seorang wanita warga China yang menjadi antara pengedar dadah sindiket itu yang beroperasi di sekitar Taman Century yang mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur.

"Hasil serbuan pertama itu,polis membuat empat lagi serbuan susulan di kawasan Pasir Gudang, Permas Jaya,Seri Alam, Iskandar Puteri manakala lima lagi serbuan dilakukan di sekitar bandar raya ini.

"Seramai 24 suspek berusia antara 16 hingga 61 tahun ditahan, membabitkan 11 lelaki tempatan, lima wanita tempatan,seorang lelaki warga Singapura,tiga wanita warga Indonesia,dua wanita warga China dan dua wanita warga Vietnam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mengulas lanjut,Ayob Khan berkata,polis merampas 1.89 kilogram (kg) ketamin, 2.3 kg serbuk ecstasy, 895.52 gram ganja, 2,469 pil ecstasy, 859 pil Erimin 5, 31.81 gram syabu, 2.01 gram heroin dan dua biji pil Yaba bernilai RM425,571, hasil 10 siri serbuan sindiket dadah kumpulan Bobby.

"Polis juga berjaya merampas pelbagai barang kemas (RM32,956), dua kenderaan (RM214,000), wang tunai RM7,000, wang tunai dolar Amerika USD500 (RM2,100), wang tunai Yuan $6,000 (RM3,625) dan wang tunai dolar Singapura $420 (RM1,287) selain lima akaun bank tempatan berjumlah RM30,234 hasil kegiatan pengedaran dadah.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta membawa nilai RM712,452," katanya.

Ayob Khan berkata, 19 suspek didapati positif dadah dengan 8 suspek termasuk warga Singapura mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di negara ini dan republik itu.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman 14 hari mulai 27 Julai lalu.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama enam akta lain yang berkaitan dadah,Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 12:13pm
d