mutakhir

Permohonan lanjutan moratorium bermula 7 Ogos

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Kewangan menggesa individu yang ingin melanjutkan moratorium untuk hadir ke bank bermula 7 Ogos ini bagi membuat permohonan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini bagi mengelakkan 7.7 juta peminjam terbabit membuat permohonan saat akhir seterusnya menjadikan keadaan di bank sesak ketika pandemik Covid-19.

"Kalau 7.7 juta pemohon itu datang pada saat akhir iaitu akhir September, kita risau dengan kemampuan bank untuk menguruskan permohonan mereka.

"Bila tamat tempoh permohonan, sekiranya mereka gagal mendapat lanjutan, ia pasti memberi kesan sangat besar berbanding situasi yang mereka hadapi kini.

"Diharapkan rakyat yang layak untuk memohon lanjutan moratorium ini menggunakan ruang dan peluang diberikan kerajaan, dengan hadir ke bank.

"Jika tidak, sudah pasti bank tidak tahu masalah yang dihadapi oleh pemohon kerana moratorium lanjutan ini bukannya automatik seperti yang diberikan kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-15, di Dewan Sri Siantan, di Putrajaya, hari ini.

Mohd Shahar berkata, menerusi inisiatif Prihatin Khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), sehingga 24 Julai lalu lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam sudah mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman yang bernilai RM62.8 bilion.

Selain itu, beliau berkata, dalam tempoh sama sebanyak 243,000 PKS atau 95 peratus daripada jumlah keseluruhannya menerima manfaat daripada moratorium berkenaan dengan nilai RM20.7 bilion.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau dilaporkan berkata, keutamaan pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu akan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 1:05pm
    d