mutakhir

Isu Adib: Pembangkang tak puas hati jawapan menteri [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

ISU kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mendapat perhatian Dewan Rakyat hari ini selepas RSN Rayer (Dap- Jelutong) tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sesi semalam.

Beliau mendakwa Hamzah tidak menjawab soalan dikemukakan dan mengelirukan dewan berhubung insiden berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN- Kuala Krau) mempertahankan jawapan Hamzah, diikuti beberapa ahli parlimen yang menempelak Rayer.

Rayer: Tuan Speaker sebagai pengamal undang-undang tahu bahawa kesalahan membunuh adalah kesalahan di bawah Seksyen 32 Kanun Keseksaan. Kesalahan 143 adalah merusuh, ia tidak menjawab soalan saya, tetapi Yang Berhormat di sebelah sana mungkin tak faham, mereka pakat bertepuk saja.

Azhar Azizan Harun (Speaker): Pertama sekali saya ingat masa itu saya berada di kerusi ini. Seingat saya Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri mengatakan bahawa 12 orang itu akan dipanggil semula memberi statement. Seingat sayalah. Mengikut perkara 36 (12) kalau hendak dibangkitkan soal pengeliruan dewan, Yang Berhormat kena merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Perlu satu usul.

Rayer: Sebelum ini bila kita jadi kerajaan, bila satu jawapan diberikan oleh seorang menteri, Yang Berhormat sebelah sana akan datang balik ke dewan membuat bantahan kononnya tidak menjawab kepada soalan dibangkitkan.

Azhar: Itu boleh ditulis kepada saya sebagai Speaker dan tunjuk bagaimana benda itu mengelirukan dan usul boleh dikemukakan untuk diambil tindakan oleh jawatankuasa hak dan kebebasanlah

Rayer: Saya ambil maklum, cuma merayu bila memberi jawapan itu kementerian dan menteri lebih bertanggungjawab supaya perkara yang diminta itu dijelaskan dan dijawab dengan lebih tepat lagi.

Azhar: Mesti. Tapi kita pun tak boleh paksa menteri jawab soalan. Itu hak dia, kalau dia tak nak jawab soalan kerana sebab-sebab kepentingan awam dan sebagainya beliau boleh di dalam perintah tetap untuk tidak menjawab.

Kemudian Ismail bangun memberikan jawapan bahawa ia sudah pun dijelaskan di dalam jawapan Hamzah semalam.

Ismail: Tidak ada perkataan yang mengatakan beliau enggan atau melarikan diri daripada menjawab. Telah dinyatakan oleh Yang Berhormat menteri, jawapan sudah disediakan, tetapi oleh kerana masa dan keadaan ketika itu dewan agak kecoh, masa tidak cukup dan Yang Berhormat menteri minta masa tambahan, alhamdulillah dapat. Memang ada jawapan dan ditunjuk jawapan di tangan dia. Tak timbul perkataan atau unsur-unsur menteri saya enggan atau mengelak memberikan jawapan.

Semalam, Hamzah ketika penggulungan peringkat kementerian berkata kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 1:28pm
d