mutakhir

Warga Indonesia tak mengaku bunuh rakan sekerja

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya yang juga warga tempatan.

Tertuduh, Junianto, 29, yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Zukanain Abd Aziz, 39, di ladang kelapa sawit berhampiran sebuah pondok di Kampung Beril, Paka, Dungun, jam 2.45 pagi pada 12 Februari lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Rosnah Muhamed, 34, yang juga isteri kepada Zukanain di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Datuk Alias.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang buruh ladang kelapa sawit maut selepas ditetak manakala isteri mangsa turut cedera dalam serangan itu ketika mereka tidur di rumah suspek.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 2:32pm
d