mutakhir

PM ucap takziah kepada rakyat Lubnan

Oleh Suraya Roslan

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan takziah kepada rakyat Lubnan atas tragedi letupan yang menggegarkan Pelabuhan Beirut semalam.

"Kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu serta berdoa mereka tabah menghadapi dugaan ini.

"Malaysia bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh Lebanon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin turut mengesahkan semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat.

"Alhamdulillah, semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang Selasa (waktu tempatan), dua letupan kuat menggegarkan Beirut hingga mengakibatkan lebih 70 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 3,700 lagi dilaporkan cedera.

Letupan turut mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan pada beberapa bangunan berdekatan.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 3:53pm
d