mutakhir

Paras air di Empangan Teluk Bahang semakin menyusut

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih menunggu keputusan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mengatasi masalah penyusutan air di Empangan Teluk Bahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya tiada komen, kita sudah memohon kepada kerajaan negeri bagi melakukan OPA dengan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Selepas itu, barulah kita lihat hasilnya," katanya hari ini.

Empangan Teluk Bahang membekalkan air kepada pengguna di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, Teluk Bahang dan Balik Pulau.

Terdahulu, Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant) turut menyuarakan kebimbangan mengenai paras air di empangan terbabit yang berbeza dengan paras di empangan Air Itam.

Penasihatnya, Yan Lee mendakwa, air sungai yang mengalirkan air ke dalam empangan turut kering.

Pihaknya juga mendesak PBAPP supaya menjalankan kajian bagi memeriksa sama ada kawasan tadahan air di empangan berkenaan mengalami kerosakan atau sebaliknya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 5:00pm
d