mutakhir

Pihak sekolah diberi amaran

Oleh Mahaizura Abd Malik

DUA kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik di sekolah mencacatkan permulaan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

Terbaharu, sebuah sekolah dipercayai di Johor melakukan kesilapan sama selepas sekolah rendah di Klang, Selangor semalam.

Tindakan memalukan itu membangkitkan kemarahan netizen di media sosial yang menganggap kesilapan itu tidak seharusnya berlaku terutamanya di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihak sekolah seharusnya sentiasa peka dan memantau keadaan bendera rasmi di sekolah masing-masing walaupun ia dipasang pekerja asing.

"Saya sekali lagi memberikan amaran tegas kepada pihak sekolah supaya memantau ketat kedudukan bendera rasmi di sekolah anda.

"Kesilapan pekerja (memasang Jalur Gemilang) secara tidak sengaja bukan lagi alasan yang munasabah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau mengulas penularan gambar Jalur Gemilang terbalik dipasang di sebuah sekolah di Johor.

Ia kejadian kedua dilaporkan pada bulan ini selepas berlaku di sebuah sekolah rendah di Klang.

Beliau berkata, tindakan dan siasatan akan diambil selepas beliau menerima maklumat terdapat sebuah lagi sekolah di Johor memasang Jalur Gemilang secara tidak sengaja.

"Saya ternampak banyak komen di media sosial yang mengaitkan isu ini dengan kaum tertentu.

"Saya tidak mahu membincangkan kaum pekerja (yang memasang bendera) terbabit. Mohon hindari isu ini daripada perkauman.

"Siasatan kedua-dua insiden terbabit mendapati pemasangan Jalur Gemilang terbalik itu berlaku secara tidak sengaja.

"Untuk makluman, kedua-dua sekolah sudah membetulkan posisi bendera terbabit," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 5:50pm
d