mutakhir

Reman Md Rayhan akan disambung

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

REMAN warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang terbabit dengan dokumentari Al Jazeera akan disambung lagi esok.

Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja yang dilantik keluarga Md Rayhan sebagai peguam bela Rayhan berkata, anak guamnya itu akan dibawa ke Mahkamah Khas Kes Pendatang Tanpa Izin (Pati) Semenyih.

"Md Rayhan akan dibawa ke mahkamah pada 9 pagi esok untuk disambung reman," katanya kepada media hari ini.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap Md Rayhan yang terbabit dengan dokumentari Al Jazeera disyaki berniat memburukkan Malaysia.

Selepas kertas siasatan dilengkapkan ia akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Imigresen), Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, Md Rayhan akan dihantar pulang ke negara asal seawal 31 Ogos ini.

Md Rayhan juga akan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini serta pas lawatan kerjanya juga akan ditamatkan.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu selepas Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia kepada PATI ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 5:53pm
    d