mutakhir

Kaya kumpul barang kemas hasil pecah rumah

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PINDAH randah dari satu daerah ke daerah yang lain untuk melakukan jenayah pecah rumah. Itu modus operandi dilakukan tiga penjenayah sebelum berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, dua suspek berusia 20 dan 29 tahun itu ditangkap pada jam 2 pagi semalam ketika sedang melepak di tepi jalan di Taman Bahau, Jempol, Negeri Sembilan.

Menurutnya, seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditangkap polis di sebuah inap desa yang disewa tiga suspek terbabit.

"Suspek yang ditahan di inap desa itu turut menunjukkan sebuah beg berisi barang kemas yang disorokkan di dalam rumah berkenaan.

"Ia dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah yang dilakukan ketiga-tiga suspek di Taman Acasia pada 23 Julai lalu, "katanya pada sidang media tadi.

Mohd Khairiel berkata, polis turut merampas sebuah kereta Honda Accord, pelbagai jenis barang kemas antaranya rantai leher, gelang tangan dan cincin.

"Berdasarkan siasatan, kesemua suspek menjadikan daerah ini sebagai lokasi persinggahan sebelum bergerak ke daerah lain untuk melakukan aktiviti jenayah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 6:07pm
d