mutakhir

Tiga sekawan tidur lokap

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TIGA sekawan yang menyamun seorang wanita ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Taman Cheras Indah dan Kampung Ampang Indah Mulia Jaya, semalam.

Lelaki berusia 25 hingga 28 tahun itu ditahan antara jam 11.30 malam semalam hingga 1.30 pagi hari ini oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita yang disamun di Dataran Mentari, Bandar Sunway, 16 Julai lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun kerugian pelbagai barang berharga dan wang tunai selepas begnya disamun suspek.

"Bertindak atas laporan, polis menahan dua suspek dalam keadaan mencurigakan di hadapan premis di Taman Cheras Indah dan pemeriksaan tubuh menemui telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa.

"Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek seterusnya bersama motosikal yang digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dan polis masih mengesan sejauh mana pembabitan suspek dalam beberapa lagi kes sama di Petaling Jaya.

Dalam operasi berasingan, polis IPD Petaling Jaya menyerbu sebuah premis 'geli-geli' di Sea Park yang menawarkan perkhidmatan urutan wanita warga asing, semalam.

Serbuan itu menahan dua wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut selain seorang wanita warga tempatan yang menjadi penjaga premis masing-masing berusia 24 hingga 38 tahun.

"Polis menjalankan siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi wanita warga asing manakala wanita tempatan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

"Selain itu, penjaga premis itu turut dikompaun kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 8:29pm
d