mutakhir

Al-Quran tidak dimamah api walaupun rumah rentung

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PENDUDUK Kampung Pauh di sini, terkejut menemui senaskhah al-Quran yang tidak dimamah api dalam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan sebuah rumah pada Rabu, 29 Julai lalu.

Kebakaran jam 7.10 pagi itu menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Penduduk, Hasnah Mat Salleh, 55, berkata, orang kampung tidak dapat membantu kerana ketiadaan punca air untuk memadamkan api sehinggalah bomba tiba.

"Sebaik api dipadamkan, kami terkejut apabila adik-beradik warga emas itu menemui senaskah al-Quran yang cuma terbakar sedikit di bahagian tepi ketika mencari sisa barangan, termasuk tabung syiling.

"Semua barangan yang ada dalam rumah terbabit musnah sepenuhnya kecuali naskah al-Quran itu selain beberapa lembaran kertas bertulis ayat suci.

"Ia menunjukkan kebesaran Allah SWT. Timbul keinsafan di hati saya memandangkan sebelum ini hanya mendengar cerita daripada orang lain, namun kali ini berpeluang menyaksikannya," katanya ditemui di kampung itu.

Seorang lagi penduduk, Zamziah Din, 74, berkata, dia bersyukur kerana penghuni rumah yang disifatkan rapat dengannya, terselamat.

Katanya, kebakaran disedari penghuni rumah berkenaan yang kemudiannya meminta bantuannya.

"Penghuni rumah itu masih bujang selain tinggal bersendirian di rumah pusaka keluarganya.

"Dia yang tidak bekerja dan mempunyai masalah pembelajaran ditanggung dan dipantau oleh adik-beradiknya selain kami," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus rumah.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, dibantu anggota BBP Kamunting dikejarkan ke lokasi.

"Operasi pemadaman tamat jam 8.35 pagi," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 9:02pm
d