mutakhir

Remaja jual kangkung berjaya sambung belajar [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

"ALHAMDULILLAH, akhirnya impian saya untuk menyambung pelajaran tercapai, banyak pihak yang membantu saya sebelum ia menjadi kenyataan," luah, Muhammad Iskhandar Mokhtar, 18.

Dia yang sebelum ini terpaksa menjual kangkung bagi mencari wang untuk melanjutkan pelajaran, mendaftar sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Politeknik Kota Bharu, di Kota Bharu, semalam.

Muhammad Iskhandar mengakui teruja untuk memulakan kehidupan baharu sebagai penuntut di politeknik terbabit, selain berazam untuk berusaha sebaik mungkin sehingga berjaya bagi merubah hidupnya sekeluarga.

"Ramai pihak yang bertanya khabar dan membantu saya dari segi sokongan moral dan kewangan sebaik kisah saya disiarkan di akhbar. Insya-Allah, semua ini akan saya balas dengan belajar bersungguh-sungguh di sini.

"Pada awalnya, saya bagaikan putus harapan untuk sambung belajar memandangkan kehidupan kami sekeluarga yang serba daif, bagaimana pun semuanya berubah apabila ramai pihak yang membantu merealisasikan impian saya ini.

"Hari ini (semalam), saya ditemani ayah, Mokhtar Yakub, 49, untuk mendaftarkan diri ke kolej dan secara jujurnya saya dapat melihat keterujaan di raut wajahnya selain tidak lekang memberi kata-kata semangat agar saya belajar sebaiknya," katanya ketika ditemui di ruang pendaftaran kolej di Politeknik Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, pengasas Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husain, yang banyak membantu Muhammad Iskhandar dalam membuat persediaan sebelum dia mendaftar masuk ke politeknik berkenaan.

Pada 8 Jun lalu, NSTP ada melaporkan kisah usaha gigih anak muda itu yang sanggup menjual kangkung bagi mencari wang untuk melanjutkan pelajaran dan kisahnya mendapat perhatian ramai.

Muhammad Iskhandar yang juga anak sulung daripada dua adik beradik itu, berkata dalam masa yang sama dia berasa sayu terpaksa meninggalkan keluarga tetapi dia sedar untuk mencapai sesuatu kejayaan perlukan pengorbanan.

"Apa yang penting sekarang ini, saya perlu fokus mengejar cita-cita kerana peluang yang diberi ini tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Setiap hari saya berdoa semoga diri ini terus istiqamah dan tidak mudah lupa diri.

"Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Raja Shamri, yang banyak membantu saya dan keluarga. Tiada apa yang dapat saya balas atas jasa baik mereka namun berjanji untuk belajar sebaik mungkin dan menjadi insan berjaya," katanya.

Kehadiran Muhammad Iskhandar ke Politeknik Kota Bharu, turut mendapat perhatian pengarahnya, Kamaludin Daud, yang turut meluangkan masa bertemu remaja terbabit.

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 8:24am
d