mutakhir

8 keluarga berdepan ancaman tanah runtuh

Oleh Erika George

LAPAN dari 23 keluarga di rumah panjang Tuai Rumah (TR) Layuh Muyang, Ulu Sebauh, dekat Bintulu berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan serta gelongsoran tanah di perkarangan rumah panjang mereka malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Pek Layang, ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 8.55 malam.

"Sejurus tiba, didapati berlaku runtuhan tanah agak serius di kawasan rumah panjang terbabit yang mana kawasan dihuni lapan keluarga terjejas teruk.

"Atas faktor keselamatan, pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) turut memutuskan bekalan elektrik kerana tiang elektrik turut tumbang akibat runtuhan itu," katanya hari ini.

Beliau berkata, bekalan air paip ke rumah panjang juga ditutup sementara kerana kebanyakan paip pecah yang boleh mempercepatkan rekahan struktur tanah runtuh.

Pel berkata, bagi meminimumkan kesan runtuhan, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut di memasang kanvas khas sebagai tambatan.

Beliau berkata, sesi taklimat turut diadakan bersama penduduk terjejas bagi menerangkan langkah yang perlu diambil sekiranya runtuhan bertambah buruk.

"Bagi tujuan sama, pasukan bomba bersama agensi berkaitan lain akan menjalankan pemantauan serta pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya.

Difahamkan, kebanyakan penduduk yang terjejas, kini tinggal di rumah saudara berdekatan sementara menunggu bantuan selanjutnya.

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 11:21am
d