mutakhir

Daging kerbau sejuk beku bernilai RM436,000 dirampas

Oleh Nur Izzati Mohamad

DAGING kerbau sejuk beku seberat 27,996 kilogram (kg) dirampas ketika pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth, kelmarin.

Ia susulan penahanan sebuah kontena yang membawa produk daging kerbau sejuk beku dari India bernilai hampir RM436,000, pada 4.20 petang.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, rampasan dibuat selepas maklumat pada dokumen yang diisytiharkan ke atas pembungkusan tidak sama dengan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dari segi nama dan alamat rumah penyembelihan.

"Daging yang dirampas ini dibawa ke ibu pejabat Maqis negeri untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zarina berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 1:40pm
d