mutakhir

Istana Negeri tidak terima 33 akuan bersumpah dari Musa

Oleh Rafiqah Dahali

YANG di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah (SD) Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) sebelum menandatangani pengisytiharan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Abinan Asli berkata, Istana Negeri Sabah menafikan menerima permohonan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk berjumpa dengan Tun Juhar.

Katanya, Istana Negeri juga turut menyangkal kenyataan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57, Datuk Zulkarnain Mahdar yang tular di media sosial baru-baru ini sebaliknya ia fitnah dan penghinaan terhadap Tun Juhar.

"Bahawa Tuan Yang Terutama Tun, sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah seperti yang didakwa oleh Zulkarnain.

"Istana Negeri tidak pernah menerima permintaan sama ada secara rasmi ataupun tidak dari pihak Musa untuk berjumpa dengan Tun Juhar.

"Rombongan Musa berserta beberapa ADUN yang memihak kepadanya cuba masuk ke Istana Negeri kira-kira jam 3.50 petang 30 Julai lalu tanpa membuat permohonan secara rasmi dan disekat oleh pihak polis," katanya dalam sidang media di Istana Negeri, hari ini.

Selain itu, beliau turut berkata Istana Negeri juga menafikan mengarahkan polis untuk menghalang rombongan Musa ke Istana Negeri bagi menyerahkan 33 surat akuan bersumpah terbabit.

"Istana Negeri tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menahan Musa memasuki kawasan Istana Negeri sebaliknya sekatan itu dibuat oleh polis bagi mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Memandangkan tiada keperluan bagi rombongan beliau (Musa) untuk berjumpa dengan Tuan Yang Terutama kerana DUN dibubarkan pada pagi 30 Julai.

"Maka, Tuan Yang Terutama tidak memperkenankan rombongan masuk ke Istana Negeri.

"Tuan Yang Terutama amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengaitkan beliau," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57 membuat laporan dakwaan salah guna kuasa dan salah laku rasuah terhadap Juhar yang menerima imbuhan tertentu untuk membubarkan DUN Sabah.

Pengerusinya mendakwa bahawa Juhar membuat pertimbangan salah dengan menerima nasihat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membubarkan DUN Sabah walaupun Ketua Menteri Sabah itu kehilangan majoriti.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 1:48pm
d