mutakhir

Mengaku bersalah eksploitasi seks terhadap isteri dan anak [METROTV]

Oleh BERNAMA

KETUA keluarga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, atas dua pertuduhan melakukan eksploitasi seks terhadap isteri dan anaknya, antara Januari 2015 dengan Februari tahun ini.

Tertuduh yang berusia 43 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu membuat pengakuan berkenaan, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan eksploitasi seks dengan menggunakan paksaan terhadap isterinya yang berusia 37 tahun, di kawasan loji air dan satu unit kondominium di Batu 9 Cheras antara Januari 2015 dengan Mei 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 13(b) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan eksploitasi seks terhadap anaknya yang berumur 13 tahun, di unit kondominium sama antara Januari 2019 dengan Februari tahun ini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14 ATIPSOM 2007, yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj, tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan itu, memandangkan lelaki itu mempunyai pertalian rapat dengan mangsa dan kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun meminta mahkamah meringankan hukuman yang akan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Ogos untuk serahan fakta kes.

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 3:19pm
d