mutakhir

Buat buku memori pembelajaran semasa Covid-19

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

SEBANYAK 75 sekolah menengah dan rendah di Besut bergabung menghasilkan satu buku yang menyimpan memori menjalani proses pembelajaran dan pengajaran dalam tempoh pandemik Covid-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Besut Abdullah Zawawi Yahya berkata, idea untuk mengumpulkan semua program serta aktiviti pembelajaran secara digital di setiap sekolah itu datang secara spontan dan mendapat kerjasama baik pihak terbabit.

"Buku setebal 150 muka surat itu mengandungi hasil kerja bergambar sama ada program, kelas atau mesyuarat secara dalam talian di setiap sekolah.

"Kami mula mengumpul bahan sejak 18 Mac hingga 14 Julai lalu sebelum ia diterbitkan dalam bentuk bercetak," katanya di Majlis Pelancaran Buku Pandemik Covid-19: Norma Baharu Sumur Ilmu di Pejabat Pendidikan Daerah Besut di Jertih, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani.

Abdullah berkata, pelancaran buku itu adalah satu usaha yang perlu dicontohi kerana segala dokumentasi akan menjadi satu sejarah yang tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

"Kami juga merancang untuk mencetak sebanyak 150 buku ini dan diagihkan ke setiap sekolah dalam daerah Besut serta diletakkan di pusat sumber sekolah sebagai rujukan.

"Setakat ini, hanya daerah Besut yang mengambil inisiatif mengumpulkan semua aktiviti itu membabitkan penyertaan keseluruhan dari semua sekolah dalam daerah ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 3:42pm
    d