mutakhir

Bekalan beras sentiasa cukup [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BEKALAN beras negara sentiasa mencukupi, malah melebihi keperluan sepanjang tempoh berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, Malaysia mempunyai kerjasama serantau dalam kalangan Asean + 3, malah negara lain masih membekalkan beras kepada Malaysia.

"Purata stok beras negara ketika ini antara 400,000 hingga 500,000 tan setiap bulan, berbanding keperluan sebanyak 200,000 tan sebulan.

"Kedudukan stok beras di peringkat kilang, pemborong dan peruncit dalam negara masih konsisten ketika ini.

"Bekalan daging, ayam, telur ayam dan susu segar kebanyakannya dihasilkan secara tempatan dan import juga mencukupi," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salahudin Ayub (Amanah-Pulai) mengenai kesediaan kerajaan mempertingkatkan stok beras negara beliau berkata, kerajaan mensasarkan peningkatan sehingga 75 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ahmad berkata, tahun lalu tahap sara diri (SSL) padi hanya 69 peratus.

Menurutnya, kerjasama dengan negara jiran juga membantu.

"Kita pernah membantu negara lain. Jadi, jika kita menghadapi masalah, kita ada simpanan yang disimpan oleh pembekal-pembekal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 6:01pm
    d