mutakhir

Bacaan suhu tidak tepat jika 'tembak' di bahagian lain [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

TINDAKAN segelintir masyarakat yang 'menembak' pengimbas suhu pada bahagian lain tubuh badan tidak digalakkan kerana bacaan suhu itu tidak tepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bacaan suhu paling tepat apabila pengimbas suhu diletakkan pada dahi seperti disyorkan penggunaannya.

Menurutnya, tidak dinafikan wujud kebimbangan orang ramai sekiranya terdapat kesan sampingan kepada kesihatan jika pengimbas suhu sering digunakan pada dahi, namun setakat ini tiada lagi bukti saintifik mengenai dakwaan itu.

"Penggunaan pengimbas suhu pada bahagian lain tubuh selain dahi adalah diragui bacaannya. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menggunakannya di tangan atau bahagian lain.

"Setakat ini tiada bukti saintifik yang boleh mengaitkan dakwaan penggunaan pengimbas suhu boleh menyebabkan penyakit lain dan bacaan suhu paling tepat adalah di dahi," katanya dalam sidang media Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan risiko penyakit lain sekiranya pengimbas suhu kerap digunakan di dahi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam menangani Covid-19.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi kerajaan untuk membantu menghasilkan pelitup muka fabrik tiga lapisan.

Beliau berkata, penggunaan pelitup muka fabrik tiga lapisan itu dapat membantu mengurangkan kos pembelian peralatan itu khususnya kepada pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah kerana ia boleh dibasuh serta digunakan berulang kali.

"Ada NGO yang sudah bersetuju untuk mendermakan satu juta pelitup muka fabrik untuk diagihkan kepada orang ramai. NGO juga digalakkan untuk membantu menjahit pelitup muka untuk diedarkan kepada orang ramai.

"KKM menggalakkan penggunaan pelitup muka fabrik tiga lapisan seperti yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan orang ramai perlu mematuhi kerana pemakaian pelitup muka satu lapisan tidak digalakkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 6:21pm
    d