mutakhir

Penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LELAKI maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Behor Pulai, Kangar, awal pagi, hari ini.

Mangsa, Mohd Shahfiq Muhammad Kabir, 32 berasal dari Jejawi, Arau maut di tempat kejadian akibat parah di anggota badan selepas tercampak ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian pada 2 pagi itu, mangsa dari arah Kampung Behor Pulai melalui jalan berkenaan sebelum bertembung dengan kereta dari arah Utan Aji dipandu lelaki berusia 27 tahun.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta suspek yang hilang kawalan memasuki laluan bertentangan dan merempuh mangsa dari hadapan.

"Akibatnya, mangsa tercampak kira-kira 40 meter dari tempat kejadian, malah motosikal mangsa diseret sejauh 160 meter sebelum kereta suspek terbabas ke dalam sungai kecil di bahagian bahu jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, hasil ujian alkohol ke atas pemandu mendapati kandungan alkohol di dalam badannya melebihi had yang dibenarkan.

"Pemandu terbabit direman empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 12:22pm
d