mutakhir

Polis buru lelaki dakwa pekerja restoran dijangkiti Covid-19

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS sedang mengesan lelaki yang memuatnaik dan menyebarkan rakaman audio serta gambar mendakwa terdapat pekerja restoran nasi kandar dekat Jalan Chain Ferry, Butterworth dijangkiti Covid-19 hingga menyebabkan pelanggan takut berkunjung ke premis itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada pengarah restoran berkenaan selepas dia menerima mesej melalui WhatsApp daripada rakannya memaparkan klip audio dan gambar.

"Mesej itu diterima kira-kira 4 petang semalam dan meminta polis membuat siasatan. Dakwaan itu tidak benar sama sekali.

"Apatah lagi disebabkan ia tular, ramai pelanggan meninggalkan serta tidak berkunjung ke restoran berkenaan kerana takut," katanya dalam kenyataan di Butterworth, hari ini.

Jelasnya, rakan pengarah restoran juga memaklumkan dia menerima pesanan berkenaan daripada individu lain memandangkan ia tular.

"Pengarah restoran memaklumkan dia mengesyaki seorang pelanggannya yang datang makan di premis itu pada 7.50 pagi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)

"Ketika itu didapati pelanggan berkenaan seolah-olah mengambil gambar keadaan restoran namun perbuatannya tidak jelas dan kabur.

"Semakan juga dibuat dengan menghubungi lelaki berkenaan berdasarkan rekod pelanggan yang dicatit pada buku nota tetapi gagal," katanya.

Noorzainy berkata, polis dalam usaha menjejaki pelaku kes itu dan berharap masyarakat tidak menularkan perkara yang boleh mencetuskan panik serta kebimbangan kepada orang awam.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 12:51pm
d