mutakhir

Pas letak calon di PRN Sabah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PAS berhasrat meletakkan calon untuk bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS Sabah bagi membincangkan isu berkenaan.

"PAS Sabah berhasrat bertanding di beberapa kerusi dan saya akan berjumpa dengan PAS negeri, mungkin dalam masa terdekat, mungkin di Kuala Lumpur atau sini.

"Sebelum ini, PAS pernah bertanding pada PRN di Sabah dan kita memang ada cawangan, calon di sana.

"Kalau ikutkan rekod PAS sebelum ini, saya rasa lebih daripada 10 kerusi dan pernah sampai 20," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kekuatan Perikatan Nasional (PN) dalam memenangi kerusi pada PRN atau pada pilihan raya umum (PRU) keseluruhan, Abdul Hadi berkata, perkara itu akan dikaji dari semasa ke semasa, selain melihat hasil laporan daripada cawangan sebelum keputusan dibuat.

Ketika diminta mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka akan menubuhkan parti baharu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia terpulang kepada bekas perdana menteri itu kerana Malaysia negara demokrasi.

"Kita tidak boleh halang orang nak tubuh parti baharu," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Ahli Parlimen Langkawi itu dijangka akan mengumumkan parti baharu pada 4 petang ini.

Langkah itu diambil beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengetepikan saman Dr Mahathir dan empat lagi anggota Parlimen yang mencabar pemecatan mereka daripada Bersatu.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 1:11pm
d