mutakhir

Peragut ditahan miliki 20 rekod jenayah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN pantas orang ramai berjaya menghalang penjenayah yang cuba meragut rantai leher milik seorang wanita di sebuah stesen minyak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa berusia 30-an pada 6.10 petang.

"Ketika kejadian, mangsa baru selesai mengisi petrol keretanya sebelum seorang lelaki menunggang motosikal tiba-tiba menghampirinya lalu cuba meragut rantai emasnya.

"Mangsa kemudian meminta pertolongan daripada orang awam sebelum suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang trauma mengalami kecederaan di bahagian leher akibat rantai berkenaan cuba ditarik oleh suspek.

Katanya, semakan terhadap suspek mendapati lelaki berusia 30-an itu mempunyai 20 rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Kami amat menghargai tindakan pantas orang ramai yang membantu membuat tangkapan suspek berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 2:25pm
d