mutakhir

Wanita dipercayai sengaja langgar kucing

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TIDAK berperikemanusiaan. Itu dapat dikatakan apabila seorang wanita didakwa memecut laju keretanya sebelum melanggar kucing sehingga mati di tempat letak kereta Flat Razak Mansion, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 23 Julai lalu, daripada seorang saksi yang melihat insiden berkenaan.

"Perbuatan wanita berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan terbabit.

"Melalui rakaman CCTV itu, didapati pemandu dengan sengaja memecut laju keretanya sehingga menyebabkan kucing itu parah dan mati," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Arie Dwi berkata, saksi yang melihat kejadian kemudian mengambil bangkai kucing itu sebelum ditanam.

"Dia kemudian memaklumkan kepada pihak kami untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa ke atas pemandu kereta itu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sedang menunggu maklumat penuh daripada saksi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 2:48pm
d