mutakhir

Helah cari rumah sewa sebelum samun warga emas

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SEORANG wanita warga emas kerugian RM1,600 selepas rumahnya dimasuki dua lelaki yang berpura-pura mahu mencari rumah sewa di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor, semalam.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun didatangi suspek menaiki motosikal ketika berada di rumahnya yang bertanyakan rumah sewa milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa kemudian membawa kedua-dua suspek ke rumah sewa yang terletak di belakang rumahnya.

Katanya, ketika berbincang (hal rumah sewa), salah seorang daripada suspek yang memakai beg sandang beritahu mahu ke tandas.

"Mangsa membenarkan suspek pergi ke tandas di dalam rumahnya. Selepas beberapa minit, suspek keluar dan mengajak rakannya beredar

"Malah, suspek memberitahu menghubungi mangsa semula sekiranya setuju untuk menyewa rumah itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramli berkata, mangsa yang curiga membuat pemeriksaan di dalam rumahnya dan mendapati beg yang digantung di tepi almari dialih ke atas mesin basuh.

"Mangsa masuk ke dalam bilik dan mendapati beg sandang miliknya dan suaminya hilang sebelum menghubungi anak lelakinya untuk melihat kamera litar tertutup (CCTV) di luar rumah.

"Pemeriksaan CCTV mendapati salah seorang suspek masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu bahagian belakang," katanya.

Menurutnya, mangsa kerugian RM1,600 apabila beg sandang suaminya mengandungi wang tunai RM1,200 dan dokumen bank manakala beg sandang mangsa mengandungi wang tunai RM400 dan dokumen penting dilarikan.

Ramli berkata, usaha menjejaki suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Dalam pada itu, tular di media sosial gambar dipercayai suspek yang memecah masuk rumah mangsa sejak semalam.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 3:51pm
d