mutakhir

Bukan kereta terbang tapi 'Super Drone'

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjelaskan istilah 'kereta terbang' sebenarnya merujuk kepada 'super drone' mengikut konteks sebenar dalam industri mobiliti udara.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada sesi menjawab soalan berbangkit bagi MEDAC di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut) bertanya mengenai usaha kerajaan berkaitan pembangunan 'kereta terbang'.

"Pada sesi itu saya telah menjelaskannya. Namun, saya terpanggil untuk sekali lagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa pihak yang masih tidak begitu jelas dengan jawapan yang saya berikan itu agar tidak timbul sebarang salah faham," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebenarnya industri 'drone dan super drone' dalam konteks mobiliti udara mempunyai potensi tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, selain industri mobiliti bandar ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai sektor lain.

"Mobiliti udara ini juga turut dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya, Mobiliti dan Internet of Things (IoT) yang kini sedang berkembang pesat terutamanya di peringkat antarabangsa," katanya.

Wan Junaidi berkata, di Malaysia, industri ini pada masa ini masih diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak membabitkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

"MEDAC hanya berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana tempatan dalam industri ini," katanya.

Katanya, industri mobiliti udara dan lain-lain industri berteknologi tinggi adalah industri yang berpotensi dan berupaya membuka peluang kepada satu bidang keusahawanan baharu dan boleh dikomersialkan terutamanya di peringkat antarabangsa.

Menjawab pertanyaan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Wan Junaidi berkata, disebabkan tidak mempunyai butiran lanjut, beliau tidak menjawab soalan terbabit.

Pertanyaan itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr Noraini Ahmad (PN-Parit Sulong), yang juga Pengerusi PAC pada 28 November tahun lalu bahawa projek kereta terbang sebelum ini menerima suntikan dana kerajaan sebanyak RM20 juta.

"Namun begitu, setelah mendapat maklumat yang dipinta oleh Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut hari ini, saya ingin menjelaskan ada permohonan untuk RM20 juta, tetapi bukan untuk apa yang dikatakan sebagai 'projek kereta terbang' tetapi untuk penyelidikan ke atas 'prototaip kereta nasional'," katanya.

Beliau berkata, permohonan peruntukan RM20 juta asalnya dibincang pada Majlis Pembangunan Negara ketika itu untuk prototaip projek kereta nasional baharu (NNCP).

"Majlis seterusnya meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta sahaja untuk prototaip NNCP yang disalurkan kepada syarikat DreamEdge melalui Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang pada masa itu terletak di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Katanya, peruntukan RM8 juta yang diluluskan itu disalurkan kepada syarikat berkenaan menggunakan peruntukan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) InnoFund dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membangunkan projek kereta nasional.

"Namun begitu, saya yakin kementerian yang terbabit dalam menyalurkan dana tersebut akan memantau kemajuan projek dan status suntikan fiskal itu," katanya.

Katanya, keutamaan MEDAC sekarang bukan projek 'drone atau super drone', tetapi memberi perhatian khusus kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, mikro dan koperasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 4:27pm
d