mutakhir

Jangan abai SOP masuk premis - Timbalan KPN

Oleh Amir Mamat

PEMILIK premis perniagaan yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga mewujudkan kluster baharu Covid-19 bakal berdepan tindakan tegas termasuk arahan menutup premis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya memberi amaran kepada pemilik premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan bagi mengelakkan kewujudan kluster baharu seperti yang berlaku di utara tanah air.

Katanya, kegagalan pemilik premis mematuhi arahan kerajaan itu menyukarkan pihak berkuasa mengesan kontak rapat individu positif Covid-19 sehingga menyebabkan angka kes pandemik itu meningkat secara mendadak.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa, ramai warga tempatan yang mencari peluang berkunjung ke tempat tumpuan pelancong untuk bercuti.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan ada segelintir premis perniagaan yang bersikap sambil lewa dalam membuat pendaftaran kedatangan pelanggan dan polis tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang termasuk menutup premis mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Melaka, Datuk Md Kasim Karim.

Minggu lalu, kerajaan Kedah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) di empat mukim dalam usaha untuk membendung kluster Sivagangga.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah turut mengarahkan lima sekolah di dua daerah di negeri itu ditutup selama 28 hari mulai 2 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam memastikan pegawai dan anggota tidak terjebak dengan sebarang bentuk masalah disiplin seperti penyalahgunaan dadah, rasuah mahu pun menjadi tali barut dalam penyeludupan pendatang asing tanppa izin (Pati).

"Pihak kami sentiasa memantau dari semasa ke semasa termasuk kerap menjalankan siasatan dalaman bagi membendung kegiatan itu," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 4:36pm
d