mutakhir

Mesyuarat khas tetap PRN Sabah 17 Ogos

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-6 di Kota Kinabalu, 17 Ogos ini.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat akan dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom pada 9 pagi di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.

Mesyuarat khas itu bagi membincangkan tarikh penting urusan pilihan raya seperti Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

Menurutnya, satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berkenaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada DUN Sabah berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15 pada hari yang sama.

  • Lagi berita berkaitan PRN Sabah
  • Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 4:51pm
    d