mutakhir

Penyanyi 'Marilah Mengundi' kena 'strok'

Oleh Nur Izzati Mohamad

PENYANYI veteran yang juga platun lagu Marilah Mengundi, Mohd Hashim Shariff terlantar sakit selepas diserang angin ahmar, sehari sebelum Aidiladha.

Mohd Hashim atau lebih dikenali Rocky Din kini tidak boleh menggerakkan bahagian kanan badannya dan kerap terbaring di rumahnya di Teluk Air Tawar, Butterworth.

Isterinya, Haslina Hassan, 63, berkata, sokongan ahli keluarga dan rakan membuatkan Mohd Hashim bersemangat untuk pulih.

"Ketika kejadian itu, kami ke kedai dan suami tiba-tiba mengadu pening. Kami singgah ke klinik sebelum doktor memaklumkan tekanan darahnya tinggi dan memberi ubat.

"Tidak sangka ketika berehat di rumah, suami bangun daripada tidur dengan sebelah anggota badan kanannya tidak dapat bergerak.

"Dia terus dihantar ke hospital dan doktor memaklumkan suami menghidap angin ahmar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Haslina berkata, dia tabah menghadapi ujian itu yang pertama kali dihadapi mereka sejak mendirikan rumah tangga.

"Saya anggap ini adalah cara untuk saya mengumpul pahala menjaga suami yang sakit dan menguatkan segala mental serta fizikal," katanya yang yakin suaminya akan pulih berdasarkan kesihatan semasa yang semakin bertambah baik.

Katanya, ramai artis lama, peminat dan rakan yang datang melawat dan memberi sokongan serta semangat untuk Mohd Hashim pulih.

Haslina juga memberitahu sedang mencari rawatan fisio sesuai yang boleh dijalani suaminya demi pemulihan segera.

Rocky Din popular dengan lagu Marilah Mengundi sejak 1978 dan lagu itu masih lagi berkumandang terutama ketika musim pilihan raya.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 5:15pm
d