mutakhir

Jemaah surau kontak rapat individu positif Covid-19 dari Kluster Sivagangga

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penutupan Surau Al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor dibuat selepas seorang daripada jemaah mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari Kluster Sivagangga.

Mengesahkan perkembangan terbaru itu kepada Harian Metro, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki terbabit menziarahi saudaranya ketika sambutan Aidiladha di Bagan Serai, Perak yang mana individu terbabit baru pulang dari Kodiang, Kedah.

Katanya, penghuni rumah berkenaan mengalami sakit tekak selepas pulang dari lokasi berkenaan namun pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Gunung Rapat, Ipoh pada 3 Ogos lalu mengesahkan individu terbabit negatif.

"Namun, ujian kedua yang dijalankan di Klinik Kesihatan Jelapang dua hari kemudian mendapati individu terbabit positif Covid-19. Jemaah berkenaan kemudian hadir ke surau berkenaan mulai 2 Ogos lalu namun tiada sebarang simptom dilaporkan.

"Sebagai langkah awal, KKM mengkategorikan jemaah berkenaan bersama enam ahli keluarganya sebagai pesakit dalam pemerhatian (PUS) dan sampel saringan sudah diambil semalam namun keputusan belum diterima setakat ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengambil langkah awal menutup surau berkenaan untuk semua aktiviti selain sebuah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang turut dihadiri anak jemaah berkenaan.

Jais dalam kenyataan media hari ini mengesahkan notis penutupan surau berkenaan berikutan seorang jemaah surau itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Pengarah Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, jawatankuasa surau berkenaan diarahkan untuk menutup semua operasi termasuk solat fardu lima waktu, solat Jumaat dan aktiviti pengimarahan yang lain serta merta.

Berita berkaitan:

  • Surau ditutup, penduduk jangan panik - JAIS
  • Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 5:33pm
    d