mutakhir

Mayat warga China dalam tasik

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MAYAT lelaki warga China ditemui terapung dalam Tasik Mines, Seri Kembangan di Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.32 tengah hari.

"Berdasarkan maklumat, terdapat objek terapung ditemui ketika anggota polis bantuan The Mines melakukan rondaan di sekitar tebing tasik berkenaan.

"Mereka mendapati terdapat mayat seorang lelaki sebelum dibawa naik dengan bantuan pihak bomba," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati lelaki terbabit adalah warga China berusia 21 tahun yang juga penuntut di sebuah universiti awam.

"Difahamkan, lelaki berkenaan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di universiti berkenaan.

"Lelaki itu dikatakan menetap di sebuah apartmen di Seri Kembangan berdasarkan kad akses yang ditemui di dalam poket seluarnya," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada rakan serumahnya, dia bertemu kali terakhir dengan mangsa pada Rabu lalu.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.50 tengah hari.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat mayat seorang lelaki berada di bawah jeti tasik berkenaan sebelum dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 5:47pm
d